Selasa, 29 Mac 2011

Aiman

Ya ALLAH…. Manalah Along ni? Liar mataku meninjau ke permukaan sungai. Tenang air sungai bukit mengalir. Jernih sampai nampak batu-batu sungai. Damai… tapi, tidak….hatiku ini tidak damai. Hati ini marah! Marah dan cemas.
Berderap bunyi ranting kayu yang aku pijak. Bukan main-main aku berjalan sambil menghentak kaki. Aku menderam, bagaikan marah kepada ranting kayu pula. Seolah-olah ranting kayu itu menyusahkan perjalananku. Huh! Sekali lagi aku ke hulu sungai. Selipar jepunku yang haus dan licin ku buka. Menyusahkan! Ranting kayu menyusahkan! Selipar jepun menyusahkan! Along lagi menyusahkan!



Astaghfirullahalazim! Aku terjun ke sungai yang sedalam pinggangku itu. Batu-batu sungai yang tajam tidak terasa mencucuk kaki. Aku capai selipar jepun lusuh berwarna biru itu. Cuma satu saja, mana pasangannya? Yang utama, mana Along? Ini selipar Along. Tanpa banyak fikir, aku menyelam air sungai yang dingin itu. Mana tahu, boleh nampak lebih jelas dasarnya. Aku bertahan dua minit lebih saja. Lepas itu, aku menyelam lagi. Aku ulang sehingga lima kali. Masih hasilnya kosong. Along tak aku jumpai.
“Along!” aku menjerit untuk kesekian kalinya.
“Along! Jangan main-main dengan Aiman!”
Bunyi arus sungai menjawabku.
“Along!!”
Perit kerongkongku terasa gara-gara menjerit. Aku tak mahu memikirkan yang buruk telah berlaku kepada Along. Aku tidak ingin sama sekali.
“Cepat keluar! Jangan sembunyi lagi!”
Terasa panas mataku. Kabur sudah pandanganku. Aku tahan, aku ketapkan gigi rapat-rapat. Tidak mahu aku mengalah dengan keadaan ini. Selipar Along yang tinggal sebelah itu aku genggam kuat-kuat. Aku tekad ingin mencari Along lagi. Aku hendak mencari ke hilir lagi, untuk ketiga kalinya.
Aku sangka aku kuat. Tidak aku sangka lutut ini sudah lemah sama sekali. Bukan kerana letih berlari berkaki ayam ke hulu ke hilir sungai. Juga bukan kerana letih mengharung sungai dan menyelam. Tapi kerana memikirkan nasib buruk Along. Menggeletar badanku, aku terduduk mencangkung. Tewas! Tersekat kerongkongku menahan sedu. Tangan kananku menggosok-gosok kepala dengan kesal. Masih lagi memegang selipar jepun Along. Aku teringat kejadian tengah hari tadi, sebelum ke sungai.
“Along nak ikut Aiman,” kata Along sambil tersengih-sengih. Rambutnya yang ikal seperti aku itu berkilat-kilat gara-gara terlebih dilulur dengan minyak rambut Tancho.
Aku menjeling tajam tidak menjawab. Aku bersiap-siap hendak pergi memancing. Umpan ikan berupa cacing-cacing tanah ku simpan elok-elok dalam kontena kecil. Aku letak dalam baldi kecil warna biru. Sementara tangan kananku sudah elok memegang joran.
“Along ikut ya,” rayu Along lagi.
Dia tahu, selagi aku tak menjawab selagi itulah peluangnya untuk memujuk.
“Tak payah ikut. Duduk sini dengan ibu,” kataku kasar kepada Along.
Aku menjeling lagi kepada Along. Riak mukanya begitu saja. Tidak berkecil hati dengan nada kasarku. Aku mengorak langkah menuju ke sungai tanpa memperdulikan Along.
Terdengar derap langkah Along mengikut dari belakangku. Aku menoleh ke belakang.
“Duduk dengan ibu sini! Aiman tak nak Along ikut!” bentakku dengan keras. Terasa bertaut bulu keningku yang tebal itu. “Nanti Along merayau entah ke mana, Aiman tak dapat memancing pula.”
“Nak ikut!”
Ah, sudah…  keluar dah suara tarzan Along. Aku melirik ke anjung rumah. Risau ibu tiba-tiba muncul. Kalau ibu tahu, memang ibu mendesak  agar aku membawa Along sekali pergi memancing.
“Tak payah!” desisku. Aku menurunkan nada suara.
“Nak ikut juga!”
Ah, gamaknya satu kampung pun boleh dengar suara Along ni.
“Kenapa tu Aiman?”
Aku terkejut dengan suara ibu. Ibu sudah berdiri di anjung rumah. Sebelah tangan ibu memegang penyapu rumah.
“Along nak ikut Aiman,” jawab Along.
“Bawalah Along tu, Aiman. Ajar sekali macam mana nak memancing. Untung-untung dapat ikan lebih.”
Sudah, ibu siap bagi suruh ajar Along memancing pula.
“Nak ajar Along ni?” kataku kepada ibu. “Berapa kali dah Aiman ajar, Along tak pandai juga, ibu. Dia lagi ligat baling batu-batu ke sungai. Habis ikan lari.” Aku menjeling Along lagi. Rasa macam nak terkeluar dah biji mata ini asyik menjeling. Sudahlah menahan bahang panas tengah hari, nak melayan karenah-karenah Along lagi. Memang aku panas!
“Nak ikut! Nak ikut! Nak ikut!” Along menjerit-jerit.
Ibu cuma mengeleng-gelengkan kepala. Aku tahu, ibu dah nak mula menjahit baju tempahan. Sememangnya ibu akan memaksa aku membawa Along pergi memancing juga.
“Aiman, bawalah Along sekali. Kalau tak, menjerit-jerit sampai ke petang tu nanti,” desak ibu.
“Yalah! Yalah! Menyusahkan!” aku menjawab kasar sambil berpusing dan berjalan laju ke sungai bukit. Along mengikut dari belakang.
Laju aku berjalan sehinggakan hampir tersadung akar kayu. Tidak aku perdulikan. Geram sungguh dengan karenah Along. Along yang berumur 15 tahun tetapi berperangai tak terjangka oleh sesiapa. Along yang terencat akal dari lahir sering membuatkan aku marah!
“Aiman, jalan perlahan,” Along menjerit dengan pelat dari belakangku. Tidak aku pedulikan.
“Aiman, tunggu,” Sekali lagi Along menjerit.
Serta merta aku memberhentikan langkah. Bukan kerana ingin menunggu, tapi kerana hati ini marah. Geram! Marah! Aku berpusing menghadap Along yang menghampir.
Dush! Aku menumbuk lengan Along dengan kuat. Along menyeringai kesakitan tapi berdiam. Dia tahu aku marah. Dia tahu..
“Siapa suruh ikut?!” Along ni menyusahkan saja! Bukan boleh tolong pun!” aku menjerit marah.
Along diam. Matanya merenung sayu. Ah, tidak akan aku tewas dengan memberi simpati. Aku meneruskan perjalanan tanpa memperdulikan Along lagi.
“Arrrrggggghhhhh!” aku menjerit kegeraman. Sungguh aku tak sangka itu kali terakhir aku melihat Along. Hampir setengah jam aku memancing di tempat biasa, Along tidak muncul-muncul. Mula-mula aku tidak berasa apa-apa. Kemudian aku berasa sangsi. Denai sudah aku susuri beberapa kali. Hulu sungai hilir sungai, aku jejak. Akhirnya cuma terjumpa sebelah selipar jepun Along yang lusuh.
Sungguh..sungguh hati ini menyesal. Tak terungkap rasa kesal ini. Aku meratap menangis tanpa segan. Tidak mampu untuk ku kawal. Deras air mataku mengalir. Bergetar sungguh jiwa ini.
Ya Allah….. Lemaskah Along? Hanyut ke hilir sungaikah dia? Walaupun air sungai tidak dalam, tapi Along itu… ya Allah, tidak mampu aku membayangkan nasib Along. Aku teresak-esak menangis dalam keadaan mencangkung. Tertunduk getar kepala kerasku. Ya Allah, bagaimana aku ingin mengkhabarkan kepada ibu? Tidak sanggup aku melihat kesedihan ibu.
Aku meraung tanpa sedar. Teringat-ingat perlakuan kasar dan biadapku terhadap Along. Along…Along…Along…
“Aiman..”
Along…masih lagi terngiang suara Along memanggilku.
“Aiman..”
Ya Allah, suara Along terus menghantuiku.
“Aiman..”
Kali ini, aku cuba menahan sebak.
“Aiman…”
Aku tekup mulutku agar esakku tidak terkeluar. Aku memasang telinga.
“Aiman!”
Segera aku menoleh ke belakang. Ya Allah! Along berdiri tegak beberapa kaki dari tempatku. Tersengih-sengih bagai kerang busuk sementara tangan kanannya menjinjing selipar jepunnya yang satu lagi. Aku ingin bersuara tapi aku yakin suaraku tidak akan terkeluar dari kerongkong ini.
Perlahan-lahan aku berdiri. Hendak menapak aku belum yakin. Aku menarik hingus akibat meraung meratap tadi. Berat rasa kepalaku. Along menghampiriku.
“Aiman, minta selipar Along satu tu,” dengan suara dan bahasa pelatnya, Along berkata.
Aku memberikan selipar itu tanpa kata.
“Jom balik, lapar…” kata Along.
Aku lihat, dia sudah mengumpul barang-barang pancingku di belakangnya. Aku menurut langkah Along. Kemudian berhenti.
“Kenapa?” tanya Along yang menyedari aku tidak bergerak.
Dush! Aku tumbuk lengan kiri Along.
“Tadi Along pergi mana?” sememangnya suaraku berbunyi seperti itik kerana serak. Juga lantaran jiwa yang masih bergetar dengan rasa cemas dan takut. Huh, aku mendengus malu dengan Along.
“Ada. Along kat sini. Along pergi hulu sungai main batu.” kata Along. “Kalau Along main sini, Aiman marah pula.”
Aku diam, tidak berdaya hendak bertekak. Letih. Penat. Baru terasa akibat berlari dan menyelam.
“Balik, lapar….” Along mengadu.
Aku merampas baldi dan joran dari tangan Along. Geram sungguh rasa hati ini.
“Along jalan depan Aiman,” aku mengarah. Along menurut saja.
Walaupun kasar perlakuanku itu, sungguh tidak ingin aku apa-apa terjadi kepada Along. Dia tetap abang kandungku. Seibu seayah, sedarah! Aku cuma tidak tahu bagaimana hendak menangani karenah Along. Sama juga aku tidak tahu bagaimana menunjukkan aku sayang kepada Along. Kami berdua berjalan bertuntunan balik ke rumah.
Bersyukur aku kepadaMu ya Allah….


ALL RIGHTS RESERVED

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...