Ahad, 26 Ogos 2012

Satu Biskut Satu Kek

Salam Syawal..
Semoga Syawal kali ini memberi kebahagiaan dan kegembiraan sebagaimana layaknya umat Islam meraikan kemenangan.

Ada yang akan mula bekerja esok kan? Termasuk saya.

Cuti Syawal kali ini, saya berasakan agak penat.

2 hari sebelum 1 Syawal, saya menjahit langsir yang dibeli oleh mak. Bermula dari pagi sampailah malam. Sambung pula ke pagi esoknya. huuuu...

Nasib baik awal-awal dah buat biskut. Kali ini, saya cuma buat popia kering inti udang kering, german cookies (dalam kuantiti yang terhad saja), brownies lapis cheese (loyang kecil), dan kek hati parek (setengah adunan).

Sengaja buat sikit dan kecil. Sebab memang dah agak mak akan beli kek dan biskut, banyak pula tu.

Untuk german cookies dan kek hati parek, pertama kali nak buat. Alhamdullilah jadi.. sedappp.. isk.. ujub pula dalam hati.

Kek hati parek adalah kek Sarawak. Selalu, orang umumnya cuma kenal kek lapis saja dari Sarawak. Kek lapis sisik ikan, kek lapis tikar getah, kek lapis masam manis, macam-macam lagi nama dan coraknya.

Dengan bakat membuat kek yang agak tumpul, seeloknya buat yang mudah saja. :D Buat dalam setengah adunan pula tu.

Layan gambar saja dulu ya.. Lain kali saya kongsikan resepinya.

Kek hati parek dan german cookies.


Jumaat, 10 Ogos 2012

Bab Rumah, Saya Tawakal

Salam...

Bila cerita hal rumah, hati saya membuak-buak dengan satu rasa.
Rasa keinginan yang amat sangat.
Keingingan yang sukar untuk dibendung atau ditepis.
Yang akhirnya hanya membuahkan bibit-bibit kecewa.

Ya, dulu saya kecewa bila mengingatkan hal rumah.
Rumah yang sampai sekarang dalam bentuk apa jenis pun belum dalam hak permilikan saya.
oh.. bukan saya dah membeli atau dalam proses membeli atau rumah dalam proses pembinaan.
Saya cuma ingin membeli sebuah rumah.

Rumah keluarga di mana terletaknya perabot-perabot yang saya ingini.
Rumah keluarga yang memberi privasi kepada saya dan keluarga.
Rumah keluarga tempat saya mendidik anak-anak mengikut acuan ibu bapanya sendiri.

Impian sememangnya begitu.
Impian yang belum tentu dapat dicapai, namun perlu diusahakan..
Saya cuma tawakal dengan masa dan keadaan, bilakah ia mengizinkan untuk memiliki sebuah rumah.

Rumah yang saya ingini tidaklah sehebat mana.
Saya menginginkan sebuah rumah yang tidak besar namun tidak juga kecil.
Tidak menginginkan rumah yang bertingkat. heee..
*Jenuh nak kemas
Inginkan rumah yang mempunyai laman.



 Antara bentuk rumah yang suka sangat tengok dan didiami.


 Yang ini pun sama.


 Yang ini pun sangat suka.. hahaha.. tengok laman rumah itu..

*semua gambar ihsan pakcik google

Namun, memandangkan keadaan, situasi dan kewangan yang tidak berapa mengizinkan.. saya tawakal saja buat sementara waktu.

Jika memang rezeki saya sekeluarga, insyaAllah.. tetap ada untuk kami.

Jika tiada juga, bak kata yang pernah saya tuturkan kepada incik bos, "nanti-nanti, kalau kita masih juga ada kekangan sehingga ke tua untuk memiliki rumah.. kita daftar diri di Rumah Seri Kenangan sajalah ya.."
Saya redha..   

Khamis, 9 Ogos 2012

Ramadhan Kita Ramadhan Mereka


credit to page fb I ♥ Muhammad 
Here is Syria... A father gives a last kiss to his killed son....
I don't want you to "Like" this post
I want you to "Share" this post!!! SHARE!! Let the world know what's happening in Syria
 
Ya Allah..
Maha Suci Allah..
  Berikanlah mereka ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian dariMu.
Tingkatkanlah darjat mereka di sisiMu.
Berikanlah kemenangan untuk mereka.
Ya Allah..
Yang mengizinkan segalanya terjadi dan yang mengetahui hikmahnya..
Berikanlah kami kekuatan jiwa kekentalan iman sebagaimana yang mereka ada..
Semoga dengan ini, kasih sayang Mu pada kami bertambah dan tidak putus.
amin... 


Sabtu, 4 Ogos 2012

Hidayah Itu Perlu Dicari; Hijrah Itu Perlu Digesa

Salam..
Hidayah dan hijrah.
Dua perkataan yang sering kita dengar, sebut, bahkan mengalaminya sendiri.

Hidayah adalah petunjuk dari Allah.
Jika orang yang kufur mencari hidayah, insyaAllah dia berubah menjadi orang yang beriman.

Suatu masa dulu, saya menyesal kerana menunggu dan menunggu. Saya katakan pada diri sendiri, tak apa.. tunggu waktu yang sesuai.
Seusai diploma pun boleh. Bila dah masuk bekerja pun boleh.
Sehinggalah pada satu hari, hati saya dijentik oleh Allah.
Apa yang perlu saya tunggu?
Andai kata saya ditakdirkan meninggal sebentar lagi bagaimana? Matilah saya dalam kekufuran..
Astaghfirullahalazim.. 
Mengingati kemungkinan itu terjadi membuatkan saya meremang bulu roma sehingga sekarang.

Resah dan gelisah.. saya menunggu hari Isnin tiba untuk bertemu dengan ustazah.
Sebaik saja menjelmanya hari ditunggu, dengan hati yang berdebar-debar saya menemui ustazah selepas kelas Tamadun Islam.

"Ustazah, ada masa tak nanti? Saya ingin berbicara secara peribadi."

Serta merta wajah ustazah itu berubah. Bagaikan dapat menangkap apa yang tersirat di hati. Menyebabkan saya semakin gelisah. 

Ustazah terus menyarankan saya masuk ke bilik beliau.
Kedengaran suara saya yang tenang. Tidak selari dengan gelora dalam jiwa ketika itu.

"Ustazah, saya ingin memeluk Islam. Tetapi bukan sekarang. Saya ingin mendalaminya terlebih dahulu." 

Maha Suci Allah yang memudahkan perjalanan saya.
Walau pada mulanya saya cuma ingin belajar menjadi seorang muslimah terlebih dahulu tanpa memeluk agama Islam, tetaplah perancangan Allah jualah yang terbaik tanpa bandingan.

Tidak lama.. hanya beberapa kali saya ke kelas agama secara peribadi bersama ustazah tersebut, hati saya dijentik sekali lagi oleh Allah. 
Saya memeluk agama Islam juga akhirnya. 

Saya tidak menunggu lagi.. menunggu untuk menghabiskan diploma, menunggu untuk bekerja terlebih dahulu, menunggu ustazah mencari dan bertanya kepada saya. 

Segala Puji Hanya Bagi Allah semata-mata.

Hijrah... 
Pengertian hijrah itu luas.
Hijrah pertama adalah melibatkan fizikal.
Hijrah kedua adalah mengenai hati.

Hijrah fizikal pula adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, jika diancam oleh orang-orang kafir.
Hijrah hati adalah beralihnya cinta, tawakal, takut terhadap selain Allah kepada cinta, tawakal dan takut kepada Allah.

Hijrah bagi muslim pada masa kini mudah untuk kita lihat.
Umumnya yang sering dikaitkan ialah khimar dan wanita.
Daripada tidak menutup aurat kepada menutup aurat.
Daripada berbuat maksiat kepada meninggalkan maksiat.
Banyak lagi yang boleh kita lihat bagi yang ingin memerhati.

Antara hijrah saya mudah saja.
Daripada tidak menutup rambut kepada bertudung.
Daripada bertudung tanpa melabuhkan kainnya di dada, kepada melabuhkan tudungnya.
Daripada tidak berstoking kepada berstoking.

Tidak mudah bagi saya.. bertudung labuh, bersarung lengan, dan juga berstoking.
Ia mengambil masa hampir 11 tahun untuk berketrampilan begini.
Ia mengambil masa begitu lama bagi saya untuk berhijrah.
Dan yang paling sukar, jika tiada kekuatan hati dan juga sokongan.

Kekuatan hati itu dulu kurang kerana persekitaran dan pergaulan. Juga kerana latar belakang keluarga yang bukan muslim. 
Waktu itu saya masih memikirkan "apa kata orang?".
Ya Allah... ampunilah saya atas kejahilan itu..    

Sokongan?
Bukan sokongan berbentuk "you can do it. I'll be behind you."
Bukan itu... tapi yang penting, ialah sama-sama menjaga aurat.
Sehingga kini saya perlu memperkukuhkan benteng aurat bila menyentuh bab sokongan.
Tidak semua orang di sekeliling saya mampu menyokong  dalam menjaga aurat.
Antara orang-orang kampung, saudara mara bahkan yang kurang mengetahui batas-batas aurat antara saya dan lelaki ajnabi.
Bila saya tidak menutup aurat kerana berada di dalam rumah, lelaki ajnabi (saudara mara sebelah suami) di luar rumah pula menerjah masuk rumah secara tiba-tiba,  
Astaghfirullahalazim... ampunilah dosa-dosa kami ya Allah.. 
Ya, itulah bentuk sokongan yang perlu ada..

Iman itu boleh turun boleh naik.
Sehinggakan ada yang mengambil ia sebagai alasan untuk melakukan kemungkaran, tidak membayar zakat, tidak solat, tidak berpuasa dan sebagainya..
Tidak terkecuali dengan saya... 
Ampunilah kami ya Allah...

Dengan mencari hidayah, dengan melakukan hijrah.. insyaAllah iman kita naik dan naik. Mudahan tidak menurun pula.
Caranya mudah saja.. Segala Puji Bagi Allah yang sentiasa memberi petunjuk...
Perbanyakkanlah ibadat dan bertasbih kepada Allah.

Semoga bermanfaat..

nota kecil: apa yang saya tulis hanyalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu. Jika ada yang khilaf, jangan segan menegurnya. semoga Allah sentiasa mendatangkan kebaikan dunia akhirat kepada kita atas segala yang dilakukan. insyaAllah  


  

Khamis, 2 Ogos 2012

Mujahadah Itu Pahit

Salam.. 
Sudah masuk minggu kedua Ramadhan..
Alamak, sedih pula.. dua minggu lagi masuk bulan Syawal.
Masih bernafaskah kita di bulan Ramadhan yang akan datang??
Dari tahun ke tahun, terasa nikmat di bulan Ramadhan.
Ibadahnya saja berganda-ganda.
Rugi tak kumpul pahala di bulan Ramadhan.

Bagi saya, berpuasa tidak menjadi masalah.
Cuma terkebil-kebil sekejaplah mata bila bangun untuk masak sahur.
Ramai juga yang bertanya kepada saya, puasa tak? Boleh ke?
Sehingga kini, ada saja yang buat sport check. Puasa tak hari ini?
Alhamdullilah, ada juga yang ambil berat kan...

Alah bisa tegal biasa. Sudah menjadi kelalian bagi saya menerima pelbagai soalan, menghadapi pelbagai reaksi dan juga ragam.
Seribu satu rasa.. Bahagia, kecewa, sedih, bahkan mendatangkan amarah. 

Terdapat percanggahan yang tidak dapat nak dielakkan di antara saya dan juga sebahagian masyarakat. 
Antara yang mempelajari ilmu agama Islam dan juga yang mewarisi agama semenjak lahir.
Dan ianya nampak sangat selepas saya berkahwin. Ini kerana selepas berkahwin, secara keseluruhan kehidupan saya tumpah sepenuhnya bersama masyarakat Melayu Islam. 
Pelbagai rencah pelbagai rasa bagi saya yang berlainan keturunan, bangsa dan latar belakang keluarga.

Dan yang harus saya terima ialah, lontaran perkataan mualaf tetap kekal sehingga akhir hayat bila hidup dalam masyarakat ini.
Sungguh, saya terpaksa bergelut sedikit untuk menerima ragam dan reaksi masing-masing.

Bagi saya, ilmu agama yang ada amatlah sedikit. Saya masih belajar, dan percaya proses pembelajaran itu akan berlaku selagi saya menyedut udara di muka bumi ini. 
Namun, dek kerana iman yang kurang.. kadang-kadang saya rasa sangat kecewa dan sedih bila ilmu yang saya kongsikan tidak diambil endah. 
Ironinya, sikap saya pula suka berkongsi ilmu. Suka bertanya, suka menegur.
Ia menyebabkan percanggahan demi percanggahan boleh berlaku.

Sensitifnya saya bila ada yang mempersoalkan ilmu agama di dada. 
Bahkan ada yang tidak ragu-ragu malah dengan keras melontarkan kata-kata yang kurang enak untuk saya dengari. 
"Saya yang lahir Islam lagi kurang ilmu agama, apatah lagi kamu yang mualaf!"
MasyaAllah... berhari-hari saya menangis.
Bagaikan belati menyusuk ke hati dan merobek-robek tanpa belas kasihan.

Ada juga yang meragui iman yang saya miliki.
Itu juga sudah menjadi agak lali bagi saya.
Apa yang menyedihkan, mereka yakin apa yang saya buat adalah salah dan boleh menyebabkan sesat sehingga boleh menyebabkan murtad menganut agama asal. 

Apa yang sudah saya lakukan?
Salah satunya, saya cuma menziarahi dan bermalam di rumah ibu dan bapa kandung di musim cuti perayaan. 
MasyaAllah... selepas ini, saya perlu bertindak dengan sangat berhati-hati.
Ada banyak hati yang perlu saya jaga.

Allah telah memberikan itu sebagai jalan untuk saya bermujahadah.
Jika dulu, bila terkenang teringat kata-kata yang menyesakkan, saya akan sedih, kecewa dan marah.
Saya tidak melihat ia selain daripada kekasaran nada dan kata, sikap yang angkuh dan sombong.
Di kala itu pula syaitan mengambil kesempatan mencucuk, menyimbah minyak ke api yang membara di dada.
Astagfirullahalazim....... 
Betapa saya seorang insan yang hina di waktu itu.

Lihat, ianya mujahadah untuk diri saya sendiri. Bukan untuk orang lain.. 
Dimana hendak mendapat kemanisan iman tanpa pahitnya mujahadah.

Sesaknya dada kerana percanggahan, pertelingkahan satu demi satu.. saya bermuhasabah diri.. 
MasyaAllah.. Maha Suci Allah yang menciptakan bumi dan langit..
Kenapa? Kenapa saya tidak terlihat dengan lebih awal?

Setiap ragam, setiap karenah, setiap sikap yang saya hadapi adalah langsung dari Allah!!
Allah menegur saya! 
Allah mengingatkan saya!
Allah ingin saya sedar dari lalai dan leka!

Kini, setiap kali terngiang-ngiang kata-kata itu, saya memohon keampunan dari Allah.
Saya mendekatkan diri dengan Allah.
Betapa.. ia berpunca dari saya sendiri.

Maha Suci Allah....
Maha Suci Allah...

Allah mendatangkan orang-orang yang pelbagai karenah kepada saya.
Allah juga mendatangkan sahabat-sahabat dunia akhirat kepada saya.
Sahabat-sahabat yang amat baik akhlaknya, yang amat mencintai ilmu, yang tunduk dengan pengetahuan..
Segala puji kepada Allah yang mendatangkan meraka kepada saya.
Betapa Allah itu adil dengan saya.
Lalu, mana nikmat Allah yang ingin saya dustai??

Rabu, 1 Ogos 2012

Berpuasa dan... oppss termakan

Salam...


Keep calm and caryy on fasting..

Petang kelmarin, balik dari kerja agak kelam kabut nak masak untuk bersungkai.
Tidak seperti biasa, incik bos agak sibuk petang kelmarin yang menyebabkan persediaan untuk masak hampir-hampir tiada.
Tambahan pula stok dah habis dalam peti sejuk.
Jadi, sebelum balik rumah singgah sebentar di kedai.
Beli bahan mentah untuk dimasak.
Sampai-sampai je di rumah, tidak menyempat nak buka tudung.
Alhamdullilah, Nur Iman boleh pula tertidur sepanjang saya memasak. Kalau tidak, memang jenuh melayan si kecik sambil masak. 
Bila buka tong beras, ya Allah.... leka sungguh isteri seorang ini. Beras dah nak habis pun boleh tak sedar.
Cukup-cukup dua cawan beras untuk dimasak..
Dalam hati, cukup ke ini?
Dengan tawakal saya campur secawan lagi beras iban.
Selalu, kalau saya menanak nasi tidak akan campur. Kalau beras biasa, beras biasalah. Kalau beras iban, beras ibanlah..
Tapi nak menanak beras iban, pun tak cukup juga. 
Sungguh-sungguh saya tawakal..
Almaklum, saya bukannya sangat pakar dalam masak memasak. 
Beras iban ini airnya kena siiikiiitttt.. kalau tak jadi lembik sangat.
Ikut naluri saja letak air berapa untuk dua cawan beras biasa campur secawan beras iban.
tuk..... bunyi periuk nasi elektrik. Menandakan nasi dah masak. Saya buka, tengok... jadi nasi ke, jadi bubur ke, tak jadi nasi (tak masak)? 
Saya tutup balik periuk nasi.. Dua minit kemudian, buka dan tengok lagi. Lepas itu, sekejap-sekejap tengok.. Tidak puas hati sungguh.. Tertanya-tanya..
Untuk kesekian kalinya saya buka tudung periuk nasi, saya ambil sudu besar dan senduk sesuku nasi. Okay, lebih sikit dari sesuku.
Terus ngap.. dalam hati, oh girang... masak, sedap lagi.
Dah telan dah pun, eh... kan puasa???
Kumur-kumur mulut, sambung masak macam biasa. 
Keep calm and carry on fasting.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...