Salam..
Hidayah dan hijrah.
Dua perkataan yang sering kita dengar, sebut, bahkan mengalaminya sendiri.
Hidayah adalah petunjuk dari Allah.
Jika orang yang kufur mencari hidayah, insyaAllah dia berubah menjadi orang yang beriman.
Suatu masa dulu, saya menyesal kerana menunggu dan menunggu. Saya katakan pada diri sendiri, tak apa.. tunggu waktu yang sesuai.
Seusai diploma pun boleh. Bila dah masuk bekerja pun boleh.
Sehinggalah pada satu hari, hati saya dijentik oleh Allah.
Apa yang perlu saya tunggu?
Andai kata saya ditakdirkan meninggal sebentar lagi bagaimana? Matilah saya dalam kekufuran..
Astaghfirullahalazim..
Mengingati kemungkinan itu terjadi membuatkan saya meremang bulu roma sehingga sekarang.
Resah dan gelisah.. saya menunggu hari Isnin tiba untuk bertemu dengan ustazah.
Sebaik saja menjelmanya hari ditunggu, dengan hati yang berdebar-debar saya menemui ustazah selepas kelas Tamadun Islam.
"Ustazah, ada masa tak nanti? Saya ingin berbicara secara peribadi."
Serta merta wajah ustazah itu berubah. Bagaikan dapat menangkap apa yang tersirat di hati. Menyebabkan saya semakin gelisah.
Ustazah terus menyarankan saya masuk ke bilik beliau.
Kedengaran suara saya yang tenang. Tidak selari dengan gelora dalam jiwa ketika itu.
"Ustazah, saya ingin memeluk Islam. Tetapi bukan sekarang. Saya ingin mendalaminya terlebih dahulu."
Maha Suci Allah yang memudahkan perjalanan saya.
Walau pada mulanya saya cuma ingin belajar menjadi seorang muslimah terlebih dahulu tanpa memeluk agama Islam, tetaplah perancangan Allah jualah yang terbaik tanpa bandingan.
Tidak lama.. hanya beberapa kali saya ke kelas agama secara peribadi bersama ustazah tersebut, hati saya dijentik sekali lagi oleh Allah.
Saya memeluk agama Islam juga akhirnya.
Saya tidak menunggu lagi.. menunggu untuk menghabiskan diploma, menunggu untuk bekerja terlebih dahulu, menunggu ustazah mencari dan bertanya kepada saya.
Segala Puji Hanya Bagi Allah semata-mata.
Hijrah...
Pengertian hijrah itu luas.
Hijrah pertama adalah melibatkan fizikal.
Hijrah kedua adalah mengenai hati.
Hijrah fizikal pula adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, jika diancam oleh orang-orang kafir.
Hijrah hati adalah beralihnya cinta, tawakal, takut terhadap selain Allah kepada cinta, tawakal dan takut kepada Allah.
Hijrah bagi muslim pada masa kini mudah untuk kita lihat.
Umumnya yang sering dikaitkan ialah khimar dan wanita.
Daripada tidak menutup aurat kepada menutup aurat.
Daripada berbuat maksiat kepada meninggalkan maksiat.
Banyak lagi yang boleh kita lihat bagi yang ingin memerhati.
Antara hijrah saya mudah saja.
Daripada tidak menutup rambut kepada bertudung.
Daripada bertudung tanpa melabuhkan kainnya di dada, kepada melabuhkan tudungnya.
Daripada tidak berstoking kepada berstoking.
Tidak mudah bagi saya.. bertudung labuh, bersarung lengan, dan juga berstoking.
Ia mengambil masa hampir 11 tahun untuk berketrampilan begini.
Ia mengambil masa begitu lama bagi saya untuk berhijrah.
Dan yang paling sukar, jika tiada kekuatan hati dan juga sokongan.
Kekuatan hati itu dulu kurang kerana persekitaran dan pergaulan. Juga kerana latar belakang keluarga yang bukan muslim.
Waktu itu saya masih memikirkan "apa kata orang?".
Ya Allah... ampunilah saya atas kejahilan itu..
Sokongan?
Bukan sokongan berbentuk "you can do it. I'll be behind you."
Bukan itu... tapi yang penting, ialah sama-sama menjaga aurat.
Sehingga kini saya perlu memperkukuhkan benteng aurat bila menyentuh bab sokongan.
Tidak semua orang di sekeliling saya mampu menyokong dalam menjaga aurat.
Antara orang-orang kampung, saudara mara bahkan yang kurang mengetahui batas-batas aurat antara saya dan lelaki ajnabi.
Bila saya tidak menutup aurat kerana berada di dalam rumah, lelaki ajnabi (saudara mara sebelah suami) di luar rumah pula menerjah masuk rumah secara tiba-tiba,
Astaghfirullahalazim... ampunilah dosa-dosa kami ya Allah..
Ya, itulah bentuk sokongan yang perlu ada..
Iman itu boleh turun boleh naik.
Sehinggakan ada yang mengambil ia sebagai alasan untuk melakukan kemungkaran, tidak membayar zakat, tidak solat, tidak berpuasa dan sebagainya..
Tidak terkecuali dengan saya...
Ampunilah kami ya Allah...
Dengan mencari hidayah, dengan melakukan hijrah.. insyaAllah iman kita naik dan naik. Mudahan tidak menurun pula.
Caranya mudah saja.. Segala Puji Bagi Allah yang sentiasa memberi petunjuk...
Perbanyakkanlah ibadat dan bertasbih kepada Allah.
Semoga bermanfaat..
nota kecil: apa yang saya tulis hanyalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu. Jika ada yang khilaf, jangan segan menegurnya. semoga Allah sentiasa mendatangkan kebaikan dunia akhirat kepada kita atas segala yang dilakukan. insyaAllah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan