Khamis, 2 Ogos 2012

Mujahadah Itu Pahit

Salam.. 
Sudah masuk minggu kedua Ramadhan..
Alamak, sedih pula.. dua minggu lagi masuk bulan Syawal.
Masih bernafaskah kita di bulan Ramadhan yang akan datang??
Dari tahun ke tahun, terasa nikmat di bulan Ramadhan.
Ibadahnya saja berganda-ganda.
Rugi tak kumpul pahala di bulan Ramadhan.

Bagi saya, berpuasa tidak menjadi masalah.
Cuma terkebil-kebil sekejaplah mata bila bangun untuk masak sahur.
Ramai juga yang bertanya kepada saya, puasa tak? Boleh ke?
Sehingga kini, ada saja yang buat sport check. Puasa tak hari ini?
Alhamdullilah, ada juga yang ambil berat kan...

Alah bisa tegal biasa. Sudah menjadi kelalian bagi saya menerima pelbagai soalan, menghadapi pelbagai reaksi dan juga ragam.
Seribu satu rasa.. Bahagia, kecewa, sedih, bahkan mendatangkan amarah. 

Terdapat percanggahan yang tidak dapat nak dielakkan di antara saya dan juga sebahagian masyarakat. 
Antara yang mempelajari ilmu agama Islam dan juga yang mewarisi agama semenjak lahir.
Dan ianya nampak sangat selepas saya berkahwin. Ini kerana selepas berkahwin, secara keseluruhan kehidupan saya tumpah sepenuhnya bersama masyarakat Melayu Islam. 
Pelbagai rencah pelbagai rasa bagi saya yang berlainan keturunan, bangsa dan latar belakang keluarga.

Dan yang harus saya terima ialah, lontaran perkataan mualaf tetap kekal sehingga akhir hayat bila hidup dalam masyarakat ini.
Sungguh, saya terpaksa bergelut sedikit untuk menerima ragam dan reaksi masing-masing.

Bagi saya, ilmu agama yang ada amatlah sedikit. Saya masih belajar, dan percaya proses pembelajaran itu akan berlaku selagi saya menyedut udara di muka bumi ini. 
Namun, dek kerana iman yang kurang.. kadang-kadang saya rasa sangat kecewa dan sedih bila ilmu yang saya kongsikan tidak diambil endah. 
Ironinya, sikap saya pula suka berkongsi ilmu. Suka bertanya, suka menegur.
Ia menyebabkan percanggahan demi percanggahan boleh berlaku.

Sensitifnya saya bila ada yang mempersoalkan ilmu agama di dada. 
Bahkan ada yang tidak ragu-ragu malah dengan keras melontarkan kata-kata yang kurang enak untuk saya dengari. 
"Saya yang lahir Islam lagi kurang ilmu agama, apatah lagi kamu yang mualaf!"
MasyaAllah... berhari-hari saya menangis.
Bagaikan belati menyusuk ke hati dan merobek-robek tanpa belas kasihan.

Ada juga yang meragui iman yang saya miliki.
Itu juga sudah menjadi agak lali bagi saya.
Apa yang menyedihkan, mereka yakin apa yang saya buat adalah salah dan boleh menyebabkan sesat sehingga boleh menyebabkan murtad menganut agama asal. 

Apa yang sudah saya lakukan?
Salah satunya, saya cuma menziarahi dan bermalam di rumah ibu dan bapa kandung di musim cuti perayaan. 
MasyaAllah... selepas ini, saya perlu bertindak dengan sangat berhati-hati.
Ada banyak hati yang perlu saya jaga.

Allah telah memberikan itu sebagai jalan untuk saya bermujahadah.
Jika dulu, bila terkenang teringat kata-kata yang menyesakkan, saya akan sedih, kecewa dan marah.
Saya tidak melihat ia selain daripada kekasaran nada dan kata, sikap yang angkuh dan sombong.
Di kala itu pula syaitan mengambil kesempatan mencucuk, menyimbah minyak ke api yang membara di dada.
Astagfirullahalazim....... 
Betapa saya seorang insan yang hina di waktu itu.

Lihat, ianya mujahadah untuk diri saya sendiri. Bukan untuk orang lain.. 
Dimana hendak mendapat kemanisan iman tanpa pahitnya mujahadah.

Sesaknya dada kerana percanggahan, pertelingkahan satu demi satu.. saya bermuhasabah diri.. 
MasyaAllah.. Maha Suci Allah yang menciptakan bumi dan langit..
Kenapa? Kenapa saya tidak terlihat dengan lebih awal?

Setiap ragam, setiap karenah, setiap sikap yang saya hadapi adalah langsung dari Allah!!
Allah menegur saya! 
Allah mengingatkan saya!
Allah ingin saya sedar dari lalai dan leka!

Kini, setiap kali terngiang-ngiang kata-kata itu, saya memohon keampunan dari Allah.
Saya mendekatkan diri dengan Allah.
Betapa.. ia berpunca dari saya sendiri.

Maha Suci Allah....
Maha Suci Allah...

Allah mendatangkan orang-orang yang pelbagai karenah kepada saya.
Allah juga mendatangkan sahabat-sahabat dunia akhirat kepada saya.
Sahabat-sahabat yang amat baik akhlaknya, yang amat mencintai ilmu, yang tunduk dengan pengetahuan..
Segala puji kepada Allah yang mendatangkan meraka kepada saya.
Betapa Allah itu adil dengan saya.
Lalu, mana nikmat Allah yang ingin saya dustai??

2 ulasan:

  1. hurm.....agak terkesan bila membaca nya...bersabarlah sahabat..

    BalasPadam
    Balasan
    1. :) izwa.. eden elok lagi nih. hihi

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...