Rabu, 10 Ogos 2011

Ya Allah, Aku Mohon Agar Dikasihani... Part 5

Maha suci Allah
Sungguh, aku ingin dikasihi
Sungguh aku mohon agar dikasihani
Tetapkanlah hidayahMu dalam hati dan jiwa ini ya Allah

Sungguh...
Itulah yang dikatakan kita merancang Allah yang menentukan
Cuma seminggu itu sahaja aku menghadiri kelas agama bersama ustazah
Dalam seminggu itu aku juga menelefon keluarga
Dan... sungguh
Aku sendiri hairan kenapa harus jujur sangat pada waktu itu

Aku khabarkan kepada keluarga bahawa aku mengikuti kelas untuk mempelajari Islam
Ibuku menangis tidak ingin bercakap denganku
Ayahku berkata, tidakkah aku mengasihani ibuku
Dan... sungguh-sungguh aku tidak faham drama itu
Kenapa bereaksi sampai begitu sekali?

Adakah aku sudah mengaibkan mereka?
Ya...
Adakah aku sudah menjatuhkan maruah mereka?
Ya...
Adakah aku sudah menghampakan mereka? Memalukan mereka?
Jawapannya tetap ya....
Sungguh taboo perbuatanku itu bagi mereka

Keesokkannya, ibuku dan beberapa orang saudara sanggup menempah tiket dan menemuiku
Aku bersikap seperti biasa, begitu juga mereka
Aku dibawa bermalam di rumah saudara
Dan ibuku mencuci mindaku
Sesungguhnya, senjata seorang ibu itu adalah air mata
Dan air mata itu meluruhkan hati dan meruntun jiwaku
Sehari semalam aku bersama mereka, dan sesudah itu mereka kembali

Aku kembali ke kampus
Dan pada hari yang sama, aku mengikuti kembali kelas agama Islam
Selepas didatangi ibuku, dan mengikuti kelas agama itu kemudiannya,
Hati ini........
Yang teruntun dengan air mata ibu
Tiba-tiba menjadi amat rindu
Rindu sungguh-sungguh
Aku ingin menyembahMu ya Allah......

Maka, sehari selepas kepulangan ibu dan saudara maraku..
Aku menelefon kepada keluargaku sekali lagi
Kali ini aku mengkhabarkan aku akan ke pejabat agama Islam untuk memeluk agama Islam secara rasmi
Ibuku berkata, "aku ingatkan engkau tidak jadi...tidak jadi untuk menjadi muslim. tidak jadi begitu setelah berjumpa denganku."
Aku tiada kata-kata untuk disebut lagi kerana ianya sia-sia

Pada hari yang dijanjikan, aku balik ke asrama terlebih dahulu.
Mandi dan membersihkan diri.
Sesudah itu aku menjumpai ustazah dan bersama beliau serta dua orang lagi ustazah pergi ke pejabat agama Islam
Setiba di sana, aku duduk di depan seseorang berhadangkan meja.
Di atas meja terdapat 2 kalimah syahadah. 1 dalam bahasa arab, dan 1 lagi dalam bahasa rumi.
Aku diajar agar menunjukkan jari telunjuk tangan kanan.
Dan aku diajar mengucap 2 kalimah syahadah.

Aku mengucapkan 2 kalimah syahadah dengan membaca tulisan rumi.
Aku membaca 2 kalimah syahadah yang selama ini aku baca dalam hati dan disimpan untuk diluahkan pada hari itu.
2 kalimah syahadah yang amat aku takut luahkan dalam keadaan tidak bersedia.

Seorang daripada ustazah itu menangis sebak.
Aku pula begitu saja. 
Tenang.... dan damai.....
Mungkin aku sudah cukup bersedia dari apa yang aku tahu.
Mungkin aku memang sudah bersedia tanpa aku sedari.
Dan ketika itu umurku, belum lagi mencapai 19 tahun.
Hanya 18 tahun...
Maha suci Allah... Dia tidak melupai janjiku kepadaNya
Seusai saja usia dari genggaman orang tua, janji itu aku penuhi mengikut perancangan Allah yang tersendiri. 

Dan semester itu aku habisi dengan menyambung curi-curi ke kelas agama.
Ditambah dengan curi-curi solat ke bilik rakan yang muslim.
Sekali lagi, perasaan tidak bersedia itu hadir.
Tidak bersedia untuk mengumumkan diri sendiri muslim kepada rakan sekampus, rakan sekuliah dan juga rakan sebilik.


6 ulasan:

  1. wah tak sabar nak tunggu part seterusnya..

    BalasPadam
  2. mengalir air mata membacanya.
    dari part 1 lagi...
    teruskan...

    BalasPadam
  3. air mata x leh tahan gak..
    x sabar part seterusnya...

    BalasPadam
  4. vill, kak sya, mrs azad..
    ini sekadar perkongsian pengalaman. :)
    jika ada masa yang sesuai, najihah akan sambung part seterusnya ya..

    BalasPadam
  5. Memgalir air mana membacanya.. Teruskan menulis wahai rakan..
    Kadangkala kita tak mampu utk berreaksi atas tingkah perlakuan orang lain..

    BalasPadam
  6. kak ida,
    terima kasih atas sokongan.
    sekadar berkongsi sesama kita.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...