HidayahMu ya Allah.. amat aku perlukan
Tiada segan tidak silu ku meminta
Janganlah ditarik kembali hidayah ini
Yang sudah Engkau berikan kepadaku
Tidak aku ingin Allah.. tidak ingin aku terlepas dariMu
Kasihanilah diriku Allah.. kasihanilah diriku..
Usai cuti semester aku kembali ke kampus.
Blok asrama siswi ditukar ke blok baru.
Bermakna kami perlu mendaftar semula untuk mendapatkan bilik.
Dan bermakna akan ada rakan sebilik yang baru.
Aku berdiri dengan tenang di barisan pendaftaran asrama.
Ada rakan-rakan sekuliah dan sebilik yang turut serta, tidak berapa jauh dari tempatku berdiri.
Aku memutuskan untuk tidak menegur mereka terlebih dahulu.
Dan di satu sudut mereka berkumpul dan berbicara halus.
Topik yang dapat aku agak apakah dia..
Aku mengenakan tudung untuk kali pertamanya.
Dan secara tidak langsung mempamerkan kepercayaanku kepada umum.
Sehingga satu ketika waktu itu, seorang rakan sekuliah memberanikan diri menegurku.
Dia bertanya khabar berita, apa yang aku buat waktu cuti dan sebagainya.
Aku menjawab dengan tenang dan seperti biasa.
Selesai pendaftaran, rakan itu menemuiku.
Dia ingin aku ke biliknya.
Aku turuti saja.
Aku masuki bilik itu, terdapat beberapa lagi rakan-rakan yang lain.
Maka berlangsunglah sesi soal jawab.
Yang aku mampu jawab, aku jawab seadanya.
Yang tidak mampu, aku biarkan.
Kenapa? Kenapa? Dan Kenapa?
Itulah soalannya.......
Soalan yang aku tidak terjangka akan ditanya berulang kali sepanjang perjalanan di kampus.
Namun, syukur alhamdullilah...
Walaupun selepas itu perlahan-lahan kawan-kawan ada yang menjauh,
Tidak kurang juga yang mendekat.
Ramai kawan baru yang amat disenangi..
Hati walau sekali sekala terasa, tidak mengapa..
Tidak mengapa itu pun hanya tahun-tahun kebelakangan ini.
Kata orang alah bisa tegal biasa.
Syukur alhamdullilah, masih bersama segelintir dari mereka.
Aku tidak rapat dengan ibu bapa.
Sejak dari kecil, duniaku hanya bersama kawan-kawan.
Bila dijauhi, rasa terkilan yang amat sangat.
Tapi itu kisah dulu..
Kini aku boleh tersenyum dengan hati yang gembira.
Dikelilingi insan-insan hebat dan penyayang..
Alhamdullilah, Allah menggantikan dengan sahabat-sahabat yang tiada tara nilainya..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan