Aku membuang pandang ke lautan. Sengaja aku menjejak hingga ke gigi air. Dingin pagi air masin terasa di kaki. Aku menoleh seketika, merenung jejak kaki yang ditinggalkan di pasir pantai. Bias cahaya mentari mula terasa di muka. Aku merenung kembali keindahan alam ciptaan ALLAH. Minda aku pula mengenang kembali kenapa aku ada di sini pada waktu ini. Pada hari ini. Hari di mana sepatutnya jari manisku disarung cincin tanda kasih dan sayang seorang insan bergelar lelaki.
.............................................................................................................................
"Saudari, tidak perlu membentak mengeraskan suara. Saya tidak selesa mendengarnya."
Aku tersentak. Mataku tajam memandang pemuda itu. Dia cuma tersenyum nipis lalu meneruskan pembacaannya. Panas mukaku terasa. Beberapa orang yang berdekatan juga memandang ke arahku. Malunya ya, ALLAH.. Aku sedar akan kesilapanku yang berkasar dengan jurujual di kedai buku itu.
"Saya minta maaf," pintaku kepada jurujual itu.
Tanpa berlengah aku menuju ke pintu kedai buku dengan pantas. Sambil menutup separuh mukaku dengan tudung. Menebal rasa malu. Hanya kerana terbawa-bawa rasa geram kecuaian sendiri, aku melepaskan geram kepada orang lain.
"Saudari, tunggu!"
Aku tidak menunggu. Laju kaki melangkah.
"Beg ini, dah tak nak lagi ke?"
Ya, ALLAH.. beg aku tertinggal. Bertambah setingkat lagi maluku. Aku mencapai beg yang dihulur oleh pemuda tadi. Aku mengucapkan terima kasih dan terus melangkah. Tetapi sempat aku melihat dia tersenyum nipis lagi.
..............................................................................................................................
Hidup ini indah
Hidup ini singkat
Kenapa harus mengeluh
Nikmati anugerah ALLAH sebaiknya
Bila diuji kenapa merungut
Bersyukurlah kerana masih dipegang olehNya
Bila ditimpa bencana kenapa meratap
Bersyukurlah kerana ALLAH masih sayang
Nikmatilah hidup.. Anugerah dari Yang Esa
Aku leka menghayati sajak pendek ini. Suara yang mengalunkannya menusuk kalbu. Sungguh, bait-bait sajak ini terkena terus ke batang hidungku. Gamaknya aku memang jenis manusia yang perungut, perengus. Ramai rakan taulan kawan menasihati, masih juga aku begini. Hakikatnya aku sendiri tidak selesa dengan diri sendiri. Aku cuba-cuba mengintai ke dewan siapa yang mendeklamasikan sajak tersebut. Pemuda itu!
....................................................................................................................................
"Assalammualaikum. Abdullah bin Muhammad."
Ya, jiwa ini bergetar ya ALLAH. Pemuda yang tersenyum nipis di kedai buku tempoh hari. Dia memperkenalkan diri kepadaku. Juga orang yang sama mendeklamasikan sajak di dewan kelmarin.
"Saya Raudhah."
"Selamat bekerja bersama."
Dan dia berlalu begitu saja. Aku terpana. Begitu sajakah?
Sebulan aku memerhatikan insan bernama Abdullah bin Muhammad. Aku sangsi sebenarnya. Dan juga keliru. Sangsi kerana caranya menjalani hidup. Dia seolah-olah tidak membuang masa begitu saja. Tenang menjalani hidup, penuh terisi. Keliru, bagaimana dia boleh melakukannya. Detik paling gawat dalam suasana dia masih mampu tersenyum. Sering aku mencuri pandang mencari peluang memerhatikan tingkahnya. Tenang sungguh.
Sehinggalah tika saat aku memberanikan diri untuk bertanya.
"Saya cuma menikmati hidup," jawabnya ringkas.
Aku mengerutkan dahi. "Apa saya tidak menikmatinya?"
"Setiap kita berbeza, Raudhah. Masing-masing mempunyai cara tersendiri," ujar Abdullah. "Terpulang kepada kita bagaimana ingin menikmati hidup. Tapi, tanya pada diri. Adakah kita benar-benar menikmatinya. Selesa sungguhkah kita dalam hidup ini?"
Aku termenung sejenak.
"Selesakah Raudhah dengan hidup sendiri? Tenangkah? Soalan yang mudah saja kan?"
Aku menjawab,"Saya tiada jawapan bagi itu."
"Maka, kembalilah ke jalan ALLAH."
Sekali lagi aku terpana.
................................................................................................................................................
Saya menginginkan anda menjadi zaujun pada diri ini.
Aku memberanikan diri mengkhabarkannya. Setelah hampir tiga bulan aku berfikir dengan mendalam. Aku ingin menikmati hidup. Hidup yang tenang walau ditimpa badai. Hidup di jalan yang diredhai ALLAH. Dan aku ingin bergandingan dengan insan itu. Aku ingin sekali, ya ALLAH..
Salam saudari Raudhah,
Begitu berbesar hati ini dengan keinginan saudari itu. Saya cuma insan yang serba kekurangan. Apa ada pada diri ini yang menjadi kekuatan bagi saudari? Hidup maut jodoh sudah tertulis olehNya. Sejauh mana kehebatan manusia tetap tidak terlangkau walau sesuku langkah dengan kehebatanNya. Namun ingin sekali saya berterus terang. Hayat saya dijangka tidak lama........................................
Sungguh ya ALLAH, aku tidak menyangkakannya. Dikala aku memikirkan aku sudah bertemu dengan yang hebat di dalam hidup, ada ranjau yang membentang. Aku membawa diri ke pantai, agar minda berpusing dengan penuh sedar. Dan aku kembali dengan semangat baru.
Beri saya peluang untuk menempuh hidup bersama saudara. Andai bukan jodoh, saya redha.
Ya, aku nekad. Aku ingin menikmati hidup bersamanya. Dia menerimaku untuk menjadi bakal zaujahnya.
..........................................................................................................................................
Aku kembali lagi ke pantai ini. Tempat di mana aku bernekad memutuskan dia zaujunku. Sesungguhnya ALLAH maha bijak. Maha mengetahui. Aku tidak nampak lagi atau tidak ingin melihat hikmahnya pada waktu ini. Namun aku redha ya ALLAH. Aku tetap yakin dengan perancanganNYA. Tentu ada yang lebih hebat perancangan untukku. Pemergian Abdullah menemui Maha Esa, seminggu sebelum majlis akad nikah, aku terima dengan rasa penuh pilu. Tidak kesampaian hajatku untuk bergandingan hidup dengannya. Namun jejaknya terkesan di hati.
Nikmati hidup ini ya Raudhah
Ingat tujuan kita diberi hidup
Ingat kenapa kita dianugerahkan nyawa
Badai manapun melanda, kita tetap teguh
Berpegang pada yang satu, pada pencipta kita
InsyaALLAH, kita menikmati sepenuhnya hidup ini.
ALL RIGHTS RESERVED
Tiada ulasan:
Catat Ulasan