Selang beberapa minit aku menjenguk ke luar rumah. Menjenguk, kembali ke dapur untuk melihat gulai ikan yang sedang dimasak. Kacau-kacau gulai ikan tanpa sebab, menjenguk lagi ke luar rumah. Pandangan mataku terlontar ke jalan utama. Aku kerling jam dinding. Hampir limabelas minit lagi akan masuk waktu Mahgrib. Hish, manalah budak dua orang ni? Siap korang nanti. Desis hatiku..
“Ibu, sudah-sudahlah tu. Kejap lagi baliklah dia orang,” kakak menegurku. Berat lidahku nak membalas balik kata-kata anak perempuan sulungku itu. Manalah dia faham perasaan seorang ibu.
“Ibu…..,” kakak mengeluh melihat olahku. Masih tidak aku perdulikan. Masih juga aku seperti kucing nak beranak lima. Aku ke dapur semula.
“Ibu! Ibu!”
Aku meluru ke pintu utama rumah. “Ha! Senja begini baru nak balik,” sergahku. Ah, niat di hati ingin bertanya dengan elok tapi entah bagaimana sergahan juga yang terkeluar dari mulut ini.
“Aiman, bu…,” kata Along dengan pekat.
“Apa??” Soal Aiman pula. Berkerut-kerut muka si Aiman. Masam pula tu. Adalah kerja si Along ni.
Hairan juga aku melihat Aiman yang basah lencun. Mereka buat apalah tadi. Aku cuba menahan diri untuk bertanya.
“Dah..dah… pergi mandi. Nak masuk waktu ni,” kataku dengan nada yang lebih tenang. Aku menarik nafas lega. Lega dengan kepulangan anak-anak lelakiku.
Suasana makan malam yang agak damai pada malam ini. Sopan dan santun Along makan tidak seperti biasa. Aiman pula mukanya asyik berkerut seolah-olah banyak beban dibahunya, aku masih menahan diri dari bertanya. Sembap betul mata bulat Aiman. Kakak pula seperti biasa. Diam dan cermat memasukkan makanan ke dalam mulut. Berbeza betul perwatakan anak-anakku.
“Aiman nangis-nangis macam Along nangis dulu,” tiba-tiba pula Along bersuara. Aku pula mengangkat kening lalu memandang ke arah Aiman. Muka Aiman merah padam, masih lagi mengunyah makanan. Diam.
“Aiman. Habiskan dulu makanan tu,” ujarku bila melihat Aiman berhenti menyuap makanan. “Along pun sama. Lepas ni basuh pinggan dengan kakak.”
Along hanya mengangguk lantaran mulut penuh dengan makanan. Terdapat butir-butir nasi melekat pada pipinya. Aku panjangkan tangan untuk membersihkan pipi Along.
Selesai makan, aku mendekati Aiman yang berada di anjung rumah. Dia, aku lihat sedang membelek-belek joran. Joran kepunyaan arwah ayahnya. Hatiku terusik seketika dengan kenangan lalu. Aku menarik nafas panjang. Aiman menoleh ke arahku bila mendengar helaan nafasku. Aku mengambil tempat di sebelahnya.
“Mana ikannya?” aku berbasa-basi dengan Aiman. Aiman, anakku yang keras perwatakan tapi berhati lembut bila kena caranya.
“Tak dapat, ibu,” jawab Aiman. “Memancing tempat biasa, tapi tak ada ikan.”
Aku mengelus rambut Aiman. Sekali lagi aku menarik nafas. “Tak apa. Lain kali boleh pancing lagi. Dapat ikan, nanti ibu masakkan ya.” Dan sekali lagi aku memerhatikan joran itu.
“Ini joran arwah ayahkan, bu?” Polos mata Aiman memandangku. Hilang kerut2 di dahinya bila bertanya sedemikian. Aku tahu, dia pun tahu. Itu memang joran ayah. Tapi, agaknya Aiman suka mendengar jawapanku.
“Ya, joran arwah ayah. Arwah suka sangat memancing. Sama seperti Aiman. Cara pegang joran pun sama.” Tersenyum simpul Aiman mendengarnya. Terpancar wajah kebudakannya, tiada lagi kerut. Wajah itu amat senang aku tatapi. Wajah persis arwah ayahnya. Insan yang amat aku cintai.
Aiman meminta izin untuk masuk ke bilik. Aku cuma mengangguk. Walaupun niat asalku ingin bertanya kejadian sebenar antara dia dan Along, aku biarkan dulu. Hati ini, terusik sungguh malam ini.
Di bilik kemudiannya, aku duduk di birai katil. Syahdu terasa dihati. Aku tatap gambar arwah yang diletakkan atas almari cermin sebelah katil. Serius wajahnya tanpa kerut. Kalau berkerut, persis sekali wajah Aiman. Semuanya pun pada Aiman wajah itu. Tiba-tiba terkenang kisah arwah.
“Abang ni, kita pergi hospital nak?” aku pujuk lagi entah kali ke berapa.
Suamiku yang berkerut muka menahan sakit hanya menggelengkan kepala. Aku tahu, itu tandanya dia mengatakan “leceh” sebagai jawapan. Tanpa menoleh ke arahku, dia bangun menuju ke tandas. Ini sudah kali ketiga berulang alik ke tandas. Salah makankah? Pagi makan di rumah, tengah hari pun sama. Malam juga serupa. Kalau keracunan makanan, aku sekali pun kena juga.
Aku mengekori suamiku ke tandas dan menunggu di depan pintu. Sepuluh minit kemudian, suamiku keluar. Kelihatan pucat. Dalam cemas aku juga geram. Cemas kerana aku tak tahu nak buat macam mana kurangkan sakit. Geram juga kerana aku tak boleh nak buat apa-apa. Hish, boleh marah kalau berlanjutan begini.
Suamiku berjalan kembali ke bilik. Aku mengekori dari belakang. Belumpun masuk ke bilik tidur, suamiku berpatah balik ke tandas. Aku mengetap bibir. Dasar lelaki degil ini. Kalau sudah sakit-sakit begini, bawalah ke klinik. Aku mengekori pula ke tandas. Dari dalam tandas kedengaran suamiku muntah-muntah. Bertambah-tambah cemas di sanubari.
Hampir sebulan suamiku berkeadaan begitu tanpa ada sebarang rawatan. Kedegilan yang enggan dirawat sebetulnya. Kadang-kadang aku pujuk elok-elok, marah pun iya juga. Kadang-kadang kakak juga turut memujuk. Langsung tidak diendahkan. Aku cuba bersabar banyak-banyak. Asyik marah-marah ketika mengandung tidak elok. Aku pujuk hatiku sendiri. Tetapi, tidak aku betah menahan sabar lebih-lebih dalam keadaan sarat begini. Sehinggalah satu hari itu, suamiku pengsan tidak sedarkan diri di kaki tangga rumah. Dalam keadaan tidak sedarkan diri begitu, dia dibawa ke hospital.
Doktor mengesahkan suamiku menghidap kanser perut peringkat kritikal. Tidak dapat aku sembunyikan perasaan terkilan kerana tidak mampu memujuk dia untuk ke hospital lebih awal. Bila barah mula merebak ke bahagian lain di badan suamiku, kesihatan dia semakin susut. Di waktu yang sama, aku melahirkan anak lelaki kedua kami tanpa ditemani suami seperti kelahiran anak-anak yang lain. Mujur ada kakak yang mampu menjaga ayahnya itu.
Aku berpantang di rumah bertemankan suami yang tidak berupaya membantuku lagi. Aku tidak ingin berputus asa. Berpantang kali ini aku tidak berbengkung. Agar mudah bagiku menemani suami ke hospital. Siang malam aku pam susu agar cukup untuk ditinggalkan untuk bayi kecilku. Supaya mudah aku menemani suami yang ketika itu sudahpun dimasukkan ke hospital. Mujur ada adik iparku yang sudi menjaga anak-anakku.
Aku tinggalkan juga segala urusan kerjaku. Hanya kerana ingin menemani suami. Suatu bening pagi ketika di wad, suami mengelus lembut jemariku. Aku cuma memandang dengan penuh kasih ke matanya. Dia tersenyum. Ak u tersentak. Pada ketika itulah aku sedar. Aku sedar, suamiku itu tidak pernah merungut kesakitan. Walaupun wajahnya mempamerkan namun tidak pernah sepatah kata pun diutarakan mengenai kesakitan. Yang ada, cuma perkataan kasih dan sayang. Kasih dan sayangnya kepada aku, kepada anak-anaknya. Mataku mula berkaca-kaca.
Suamiku mengusap dahiku. Ya, itu sering dia lakukan bila dahiku berkerut. Berkerut kerana bersusah hati. Berkerut bila marahkan anak-anak. Berkerut bila rumah bersepah. Tangan itu saja yang mampu meredakan. Dari dahi turun ke wajah dan hati. Dan itu juga kali terakhir tangan itu membuang kerut di dahi ini. Waktu itu, Aiman baru sahaja berusia tiga bulan.
Aku redha dengan pemergian suami tercinta. Air mata tetap mengalir namun aku redha. Aku ulang berkali-kali ketika itu, bahawa aku redha. Aku tidak ingin lemah. Tidak sama sekali. Terutama bila anak-anak memerlukan aku. Sungguh, aku berasa disayangi Allah. Tidak sama sekali aku berburuk sangka terhadap Allah. Ya, memang rindu mencengkam, hati ini digigit rasa amuk ingin mendengar suara gurau senda kasih cinta arwah. Bila datang saat-saat sedemikian, aku mendekatkan diri kepada Allah. Seperti sekarang. Aku berwuduk dan ingin solat sunat. Ini saja caraku menyalurkan rasa rindu kepada arwah. Rindu yang bersambut walau sudah tidak bersama lagi di dunia ini. Mudahan engkau tenang di sana, sayangku..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan